Negeri Sabah mempunyai tidak kurang dari tiga puluh etnik suku kaum . Sebuah negeri yang kaya dengan tarian kebudayaannya. Apabila tiba musim perayaan seperti Pesta Kaamatan dan juga perayaan Sabah Fest yang dirayakan pada Mei setiap tahun, orang ramai dapat menyaksikan pelbagai tarian kebudayaan yang dipersembahkan untuk memeriahkan lagi suasana perayaan berkenaan. Penduduk Sabah terdiri daripada pelbagai suku kaum. Etnik terbesar di Sabah adalah Kadazan Dusun, Bajau dan Murut. Suku kaum yang lain ialah Kedayan, Bisaya, Irranun, Rungus, Kimarang, Kwijau, Lundayeh, Ubian, Binadan, Orang Sungai, Tatana, Tagaas, Brunei, Suluk dan lain-lain. Perbezaan di antara berbagai-bagai suku kaum tersebut adalah ketara terutama sekali dari segi bahasa, ugama, adat istiadat dan pegangan hidup termasuklah pakaian tradisi mereka. etnik-sabah2
Kadazan Dusun
Kaum Kadazan Dusun merupakan nama kaum bumiputera asli yang terbesar di Sabah dan berasal daripada Indo-China. Kaum etnik ini menggunakan pelbagai bahasa dan dialek dengan pelbagai kebudayaan dan adat resam tradisional. Terdapat 27 suku kaum di dalamnya. Antaranya ialah Dusun Liwan, Dusun Tindal, Dusun Pahu, Dusun Lotud, Bagahak, Dusun Labuk, Dusun Kimaragang, Tagahas, Tangara, Dusun, Rungus, Orang Sungai, Kuijau, Tambanuo, dan sebagainya. Kadazan Dusun membentuk 30 peratus populasi Sabah yang terdiri daripada dua kaum, Kadazan dan Dusun digabungkan bersama kerana berkongsi bahasa dan budaya yang serupa. Bagaimanapun, bezanya etnik Kadazan tinggal di kawasan lembah dan secara tradisi terlibat dalam penanaman padi, sementara etnik Dusun tinggal di kawasan pergunungan di pedalaman Sabah.
Tarian Sumazau
Tarian ini merupakan sejenis tarian tradisi rakyat Sabah yang amat terkenal di Sabah dan di seluruh Malaysia. Ia merupakan tarian tradisi suku kaum Kadazandusun. Tarian ritualnya memenuhi pelbagai fungsi seperti tarian Sumazau yang ditarikan untuk mengucap kesyukuran yang berkaitan dengan kegiatan menanam dan menuai padi dan juga untuk menolak bala, menyemah semangat, dan mengubati penyakit. Gerak dan irama tari Sumazau adalah perlahan-lahan dan lemah lembut. Pasangan penari lelaki dan wanita menari berhadapan dan mereka menggerak-gerakkan kaki dengan langkah kecil, sementara tumit kaki diangkat dan diturunkan mengikut irama lagu. Ketika menari tangan dikepakkan keluar, gerakannya turun naik seperti burung terbang. Biasanya Sumazau ditarikan semasa menyambut hari keramaian dan di majlis jamuan. Pesta Kaamatan (Menuai) disambut oleh Kadazandusun sebagai meraikan tuaian baik dan disambut oleh semua kaum lain Sabah.
Persandingan Masyarakat Bajau
Kumpulan etnik kedua terbesar di Sabah, kaum Bajau merangkumi 15 peratus populasi penduduk negeri ini. Mereka asalnya adalah keturunan pelaut yang menyembah Omboh Dilaut (Tuhan Laut) dan sering dikenali sebagai gipsi laut. Ada yang telah meninggalkan kehidupan di laut dan menjadi peladang serta penternak. Mereka pula dikenali sebagai ‘Koboi Timur’ kerana kepakaran mereka menunggang kuda. Terdapat pelbagai suku kaum di kalangan masyarakat Bajau seperti Ilanun, Sulu dan sebagainya. Kebanyakan masyarakat Bajau mendiami kawasan Semporna dan Kota Belud. Kaum lelaki dalam kalangan masyarakat ini terkenal sebagai penunggang kuda yang mahir. Adat resam kelahiran antara masyarakat Bajau dengan masyarakat Melayu di Semenanjung terdapat banyak persamaan di mana adat seperti berpantang, menempah bidan dan melenggang perut juga dilaksanakan oleh masyarakat tersebut. Ini kerana kebanyakan masyarakat Bajau di Sabah adalah beragama Islam.
Tarian Brunsai
Suku kaum Bajau boleh dikenali melalui tarian Brunsainya. Tarian Brunsai tidak diiringi dengan musik ataupun bunyi-bunyian, ianya mengutamakan pada "kalang" seperti berbalas pantun yang diiringi oleh hentakan kaki penari lelaki. Brunsai biasanya dilakukan pada waktu malam untuk meraikan majlis perkahwinan, merayakan kelahiran bayi, majlis kesyukuran dan bagi meraikan orang yang sudah bernazar. Penari Brunsai juga memakai pakaian yang berwarna warni seperti seluar hitam, biru, merah dan baju serta tanjak yang mempunyai corak-corak menarik.
Tarian Limbai
Tarian ini adalah sejenis tarian asli masyarakat suku Bajau. Tarian Limbai ditarikan ketika menyambut ketibaan pengantin lelaki yang diarak ke rumah pengantin perempuan. Sebaik sahaja rombongan pengantin sampai, perarakan dihentikan sementara, lalu tarian Limbai dipersembahkan di hadapan pengantin. Ia merupakan upacara khas sebagai isyarat menjemput pengantin naik ke rumah untuk melakukan istiadat pernikahan. Irama dan bahasa tarian mengiringi anggota-anggota rombongan pengantin naik ke rumah. Penari-penari melambai-lambaikan selendang mereka sebagai lambang mengundang dan mengucapkan selamat datang. Murut
Pakaian tradisional Murut
Tarian lansaran masyarakat Murut
Kaum Murut merupakan etnik ketiga terbesar di Sabah, Murut merangkumi tiga peratus populasi penduduk negeri ini. Secara tradisi, mereka menduduki kawasan pedalaman di utara Borneo. Mereka juga adalah antara etnik Sabah terakhir untuk membuang amalan memburu kepala. Kini, mereka penanam padi huma dan ubi kayu, sambil memburu menggunakan sumpitan dan menangkap ikan. Kebanyakan kaum pribumi di Sabah, pakaian tradisi mereka turut dihiasi dengan hasil seni manik yang menarik. Tarian Magunatip Ini merupakan sejenis tarian tradisi masyarakat suku kaum Murut dari suku Kuhijau (Kwijau). Magunatip berasal dari perkataan ‘apit' yang bermakna jepit. Ia membawa maksud ketika menari kaki penari terjepit atau terapit di antara dua batang kayu (buluh) jikalau tidak cekap mengelakkannya. Biasanya tarian ini tidak memerlukan iringan muzik oleh kerana bunyi buluh itu yang dilagakan akan menimbulkan bunyi yang kuat serta rentak dan irama yang menarik.Tarian Magunatip bertujuan untuk memeriahkan lagi sesuatu upacara yang diadakan. Tarian Lansaran Suku kaum Murut amat terkenal dengan tarian lansaran. Tarian ini hanya dilakukan di lantai khas yang berukuran kira-kira 81 kaki persegi yang dibina di tengah-tengah rumah panjang yang diperbuat menggunakan kayu bulat. Kayu bulat dipasang berlapis-lapis secara khusus supaya boleh melantun seperti "spring. Kemuncak tarian ini ialah berbalas-balas pantun tanda mengeratkan lagi tali silaturahim . Pada masa lalu tarian itu diadakan bagi menyambut kepulangan para pahlawan yang telah mencapai kemenangan setelah bertarung di medan pertempuran.
Suku-suku yang lain:
Suku Momogun Rungus
Rungus juga di kenali sebagai Dusun Laut atau Dayak Dusun. Suku kaum Momogun Rungus mendiami kawasan pesisir pantai barat Kudat, pantai timur Kudat, Teluk Marudu, Pitas hingga ke Beluran dan juga kepulauan sekitar Kudat. Kebanyakan suku kaum Momogun Rungus adalah menganut agama Kristian.
Tarian Sumundai Monggigol
Tarian suku kaum Momogun Rungus ditarikan oleh seorang lelaki dan beberapa orang perempuan. Tarian yang dinamakan Sumundai-Mongigol ini diiringi dengan paluan gong. Alatan muzik yang digunakan terdiri daripada 4 buah gong dan gendang yang dinamakan 'Tontog'. Penari perempuan akan merapatkan bahu antara satu sama lain dan menggerakkan pergelangan tangan dengan langkah-langkah yang perlahan dan lembut. Apabila lelaki dan perempuan sama-sama menari, ia dipanggil "miandak" dalam bahasa Rungus. Tarian Sumundai-Mongigol ini ditarikan apabila tiba Pesta Kaamatan, upacara pemujaan semangat, majlis perkahwinan, kematian, keraian ataupun ketika menyambut tetamu yang istimewa.
Suku Iranun
Iranun atau Illanun ialah nama satu suku kaum yang dikategorikan sebagai penduduk bumiputera Sabah. Iranun bermaksud berkasih-kasihan. Ini bagi mewujudnya sistem hubungan sosial yang amat erat, yang terikat oleh tali persaudaraan yang amat intim, yang berlandaskan sistem kerjasama dan gotong-royong. Mereka merupakan pelayar yang cekap, tempat tinggal masyarakat Iranun banyak tertumpu di kawasan tepi pantai. Namun ada juga yang terletak di bahagian dalam daerah. Masyarakat Iranun ini banyak menetap di daerah Kota Belud seperti di kampung Pantai Emas, Kaguraan, Kota Peladok, Tamau, Paya-Payas, Marampayan, Kota Bongan, dan lain-lain.
Suku Idaaan
Idaan adalah etnik yang menetap terutamanya di sekitar daerah Lahad Datu di persisiran timur Sabah. Populasi semasa dianggarkan sekitar 6,000 , etnik ini memiliki hak esklusif bagi mengumpulkan sarang burung layang-layang di dalam gua batu kapur di kawasan penempatan mereka. Sebahagian besarnya adalah muslim, tetapi sebahagian kecil suku kaum yang dikenali sebagai Begaak adalah animist. Selama beberapa abad etnik Idaan telah memiliki mekanisme sosial berasaskan sejarah. Sebagai etnik minoriti, Idaan beroperasi sebagai kumpulan korporat berkait rapat berkaitan dengan aktiviti menuai sarang burung layang-layang.
Suku Bisaya
Bisaya dikatakan di antara yang pertama menerima Islam pada awal kurun ke-13. Kedatangan Islam dalam kaum Bisaya adalah melalui hubungan dagang dengan pedagang dari tanah Arab. Jika dilihat daripada segi kehidupan sosial, sedikit sebanyak pengaruh Arab memainkan peranan dalam urusan mereka sehari-harian. Bangsa Bisaya adalah suku kaum asli yang telah tinggal dan menetap di Borneo Sabah sejak beribu tahun yang lalu. Kemahiran suku kaum ini dalah dalam bidang pertanian. Mereka juga mahir memburu binatang liar di hutan untuk dimakan. Selain itu mereka juga menternak ayam, itik, angsa, lembu dan lain-lain binatang sebagai makanan. Kaum Bisaya juga mahir dalam seni kraftangan dan sebahagian besar peralatan kraftangan digunakan dalam kehidupan seharian mereka selain mahirr menangkap ikan. Tarian Bubu Kaum Bisaya mempunyai tariannya sendiri, iaitu Tarian Bubu yang biasanya dipersembahkan semasa upacara perkahwinan, pertunangan dan jamuan masuk rumah baru. Mereka percaya kepada kuasa ghaib, oleh itu dukun atau pawang menjadi perantara komunikasi bagi mereka dengan dunia lain.
Suku Suluk
Sulu berasal daripada Kepulauan Sulu dan Borneo (Sabah) sejak zaman Kesultanan Sulu lagi. Kaum Suluk ini menggunakan bahasa Tausug sebagai bahasa pertuturan. Agama rasmi yang dianuti adalah agama Islam. Kaum Suluk ini juga mempunyai budayanya yang unik dan tersendiri. . Pusat petempatan bagi orang Suluk adalah terletak di daerah Kudat, Semporna, Sandakan, Lahad Datu, Kota Kinabalu, Menggatal,T uaran dan Telipok Orang Suluk tidak memanggil diri mereka Suluk melainkan menggelar diri mereka Tausug yang membawa maksud "Orang dari Sulu". Tarian Balok-balok Tarian Bolak-Bolak adalah tarian suku kaum Suluk yang diiringi dengan pukulan "gabbang" yang sering diadakan di majlis-majlis perkahwinan dan majlis-majlis keramaian yang lain. Tarian ini dilakukan oleh kaum wanita dan lelaki yang memakai pakaian tradisional berwarna warni. Penari menggunakan empat bilah kayu kecil jenis keras yang digenggam dengan tangan, dua bilah kayu dalam satu tangan ditepuk-tepuk sehingga mengeluarkan bunyi sama rentak dengan pukulan kulintangan.
Suku Tidung
Suku kaum Tidung adalah suku kaum rumpun Melayu yang banyak terdapat di bahagian tenggara Sabah iaitu sekitar daerah Tawau dan Sebatik. Antara suku kaum Melayu Tidung begitu dikenali di Tawau ialah Tidung Apas, Tidung Indrasabah, Tidung Membalua, Tidung Merotai dan Tidung Kalabakan. Terdapat juga ramai suku kaum Tidung di beberapa kawasan di Sandakan seperti di Beluran. Mereka adalah etnik Muslim dan menggunakan bahasa Melayu untuk berkomunikasi dengan entiti masyarakat lain di sekitarnya seperti masyarakat Bolongan ( Tanjung Selor), masyarakat Banjar ( Banjarmasin ), masyarakat Kutai dan masyarakat Berau yang merupakan penghuni. Tarian Zapin Dalam budaya masyarakat Melayu Tidung, tarian zapin atau zipin serta alat muzik seperti gambus dan kompang yang berasal dari budaya Arab sudah lama digunakan sejak turun temurun. Di Tawau ini juga terdapat masyarakat Melayu keturunan Arab dan Habib yang merupakan golongan pendakwah Islam terdahulu yang telah menetap di sini dan berkahwin dengan masyarakat tempatan.
Kesimpulan
Masyarakat pelbagai etnik dan kebudayaan hidup dalam keadaan yang harmoni dan saling bantu membantu antara satu sama lain adalah merupakan keunikan bagi negeri Sabah. Masyarakatnya hidup dalam keadaan kepelbagaian budaya dan menarik perhatian ramai pelancong luar ke negeri ini
Comments
Post a Comment